Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:01am
Keadaan di Pasar Awam Kuala Klawang pada hari terakhir Ramadan. -Foto NSTP/Abnr Hamizam
Keadaan di Pasar Awam Kuala Klawang pada hari terakhir Ramadan. -Foto NSTP/Abnr Hamizam

Keadaan terkawal di Pasar Awam Kuala Klawang

JELEBU: Tiada kesesakan luar biasa di Pasar Awam Kuala Klawang bagi orang ramai mendapatkan barang keperluan menjelang sambutan Aidilfitri, esok.

Tinjauan BH sejak jam 8 pagi tadi mendapati, kemasukan pengunjung dikawal dan dihadkan sehingga 40 orang dalam satu-satu masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Bakri Sawir turut membuat tinjauan di pasar berkenaan selain memantau harga barang keperluan.

Bakri berkata, tidak berlaku kenaikan harga barang keperluan dan peniaga masih lagi menjual pada harga munasabah.

Katanya, bagi ayam standard, ia dijual pada harga RM7.50 sekilogram dan tiada kenaikan pada harga barang kawalan seperti telur ayam dan daging.

"Biar pun berlaku peningkatan pengunjung berbanding hari biasa, keadaan masih lagi dapat dikawal dan pengunjung masuk ke pasar menggunakan nombor giliran," katanya ditemui di sini.

Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, berkata pusat khidmat Dewan Undangan Negeri ( DUN) Klawang turut mengagihkan 3,000 pelitup muka kepada pengunjung yang datang ke pasar berkenaan.

Bagi peniaga lemang, Norhisam Hashim, 41, berkata sebatang lemang masih lagi dijual pada harga RM13 dan RM14 sama seperti tahun lalu.

"Tahun lalu, sebanyak 100 batang lemang berjaya dijual namun tahun ini jualan agak perlahan," katanya.

Peniaga ayam, Mazrul Haizam Mohd Halid, 34, berkata menjelang Aidilfitri sebanyak 300 ekor ayam dapat dijual sejak semalam, berbanding hari biasa sebanyak 150 ekor sahaja.

Sementara itu, pengunjung, Siti Saleha Ahmad Zaki, 38 berkata biarpun perlu beratur untuk masuk ke pasar namun keadaan masih lagi terkawal.

"Orang ramai memberi kerjasama yang baik apabila tidak mengambil masa yang lama membeli barang keperluan sekaligus memberi peluang kepada orang lain untuk masuk ke pasar," katanya yang beratur selama 10 minit.

Berita Harian X