Jumaat, 22 Mei 2020 | 1:02pm
Kelihatan pengunjung membeli barang keperluan di Pasar Awam Batu Gajah ketika Tinjauan. Pasar Awam menjadi tumpuan utama pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan sempena menjelang Aidilfitri. -Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Kelihatan pengunjung membeli barang keperluan di Pasar Awam Batu Gajah ketika Tinjauan. Pasar Awam menjadi tumpuan utama pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan sempena menjelang Aidilfitri. -Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Beratur sejauh 200 meter beli barang keperluan Aidilfitri

BATU GAJAH: Ratusan pengunjung sanggup beratur panjang sejauh lebih 200 meter (m) demi mendapatkan barang keperluan di Pasar Awam Batu Gajah, di sini.

Barisan pengunjung sebelum ini pernah menjangkau sejauh satu kilometer dan pasar awam menjadi tumpuan utama pengunjung di sekitar bandaraya terutama menjelang perayaan Aidilfitri.

Rata-rata pengunjung memilih pasar awam berkenaan, berikutan barangan keperluan yang lengkap selain berjaya mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati ,meskipun beratur panjang, pengunjung tetap mematuhi penjarakan sosial sejauh 1m mengikut garisan yang ditanda dan setiap pengunjung diperiksa suhu sebelum memasuki pasar.

Pengunjung dari Tanjung Tualang, Saodah Abas, 50, berkata, dia sanggup datang dari jauh dan tidak kisah beratur panjang kerana pasar yang begitu berdisiplin mematuhi setiap SOP.

"Kalau pergi pasar berdekatan rumah barangnya tidak sebanyak di sini, tambahan nak dekat raya makcik tidak kisah beratur panjang janji banyak pilihan dan rasa selamat," katanya.

Pengunjung dari Pengkalan Baru, Fazidah Mohd Dawi, 50, turut mengakui memilih pasar itu kerana barang keperluan banyak pilihan dan kawalan SOP yang ketat.

"Setiap minggu saya membeli barang keperluan di sini kerana barangan lengkap, murah dan paling penting kawalan SOP ketat membuatkan kami tidak bimbang untuk berbelanja di sini," katanya.

Peniaga daging, Zainuddin Zainal, 55, pula berkata, permintaan pelanggan terhadap daging tetap tinggi menjelang Aidilfitri dalam tempoh PKP.

"Dalam tempoh perayaan ini, kita akan menyembelih seekor untuk dihabiskan dalam dua hari," katanya.

Peniaga ayam, Noor Fazidah Salih, 54, yang sudah 30 tahun berniaga pula berkata, pihak Jabatan Kesihatan sentiasa memastikan kebersihan pasar setiap hari dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula memantau harga.

"Saya sudah 30 tahun berniaga, walaupun PKP kami tidak bimbang kerana pelanggan masih memilih pasar ini untuk berbelanja," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X