Selasa, 19 Mei 2020 | 1:26pm

EXCO Kedah angkat sumpah esok

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail dijangka dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kanan dalam barisan EXCO Kedah yang akan mengangkat sumpah esok.

Selain Ku Rahman, tujuh ADUN Perikatan Nasional (PN) Kedah dan dua ADUN Bebas iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam Kiri) dilaporkan akan turut dilantik sebagai EXCO.

Difahamkan seramai empat wakil PAS, tiga wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan seorang wakil UMNO bakal menganggotai barisan kepimpinan negeri di bawah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Tinjauan di Wisma Darul Aman pagi tadi, mendapati kenderaan membawa ADUN terbabit dilihat memasuki bangunan pentadbiran itu bagi menghadiri raptai perlantikan EXCO.

Selain Muhammad Sanusi, antara yang dilihat adalah ADUN Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman; ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Ashah Ghazali; ADUN Kupang, Datuk Najmi Ahmad dan ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.

Turut dilihat berada di Wisma Darul Aman adalah ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad; ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Mereka dijadual mengangkat sumpah jawatan EXCO di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah esok.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang majoriti selepas 23 ADUN menyatakan hilang kepercayaan ke atas beliau.

Berikutan itu, PN Kedah mula mengambil alih kerajaan negeri selepas Muhammad Sanusi mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Ahad lalu.

Komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Berita Harian X