Sabtu, 16 Mei 2020 | 4:50pm
Penduduk Kampung Chengal Lempong Mohd Zaidy Samsudin, 49, (kiri), Raffizan Samsudin, 46, (dua, kiri) mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka pada Program Bubur Lambuk sumbangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota. - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Chengal Lempong Mohd Zaidy Samsudin, 49, (kiri), Raffizan Samsudin, 46, (dua, kiri) mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka pada Program Bubur Lambuk sumbangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota. - Foto BERNAMA

Penduduk Kampung Chengal Lempong dapat bubur lambuk

KUANTAN: Sebanyak 1,200 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada penduduk Kampung Chengal Lempong, di sini, hari ini, sumbangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah .

Sumbangan Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu disampaikan Setiausaha Sulit beliau Muhamad Kisfi Zainal secara pandu lalu kepada penduduk sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita mengagihkan 1,200 bungkus bubur lambuk kepada penduduk dan juadah ini disediakan penduduk setempat. Program ini dilaksanakan kali pertama pada tahun lalu.

"Pemberian ini diharapkan sedikit sebanyak dapat menambahkan keceriaan sambutan bulan Ramadan dan diharapkan dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Selain bubur lambuk, Muhamad Kisfi berkata Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota menyerahkan bantuan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak kepada 79 cawangan UMNO kawasan itu untuk disalurkan kepada 420 penerima.

Sementara itu, Tok Ampat Kampung Cengal Lempong, Shikh Zahari Shikh Sulaiman berkata, penyediaan bubur lambuk tersebut mengambil masa hampir tiga jam menggunakan bahan-bahan seperti 25 kilogram ikan selayang, beras dan santan serta pelbagai jenis sayur-sayuran.

"Saya berbesar hati dapat membantu menyediakan juadah istimewa ini dan berterima kasih dengan sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi membolehkan kami memasak bubur ini.

"Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada bulan Ramadan akan datang bagi memeriahkan lagi suasana bulan puasa di kampung ini," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X