Jumaat, 15 Mei 2020 | 9:12am
Dua lelaki ditangkap Unit Risikan Polis Marin(PPM) Wilayah 5 Sarawak kerana cubaan menyeludup minyak diesel dalam Op Benteng COVID-19 di Jalan Setia Raja,Tabuan Jaya,Kuching, semalam. FOTO/ IHSAN PPM
Dua lelaki ditangkap Unit Risikan Polis Marin(PPM) Wilayah 5 Sarawak kerana cubaan menyeludup minyak diesel dalam Op Benteng COVID-19 di Jalan Setia Raja,Tabuan Jaya,Kuching, semalam. FOTO/ IHSAN PPM

2 lelaki gagal seludup minyak diesel

KUCHING: Dua lelaki berputih mata apabila cubaan menyeludup minyak diesel berjaya dihidu Unit Risikan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, tengah hari semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, ACP Shamsol Kassim berkata, dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 34 dan 50 tahun ditahan dalam Op Benteng COVID-19 di Jalan Setia Raja,Tabuan Jaya, di sini, jam 2.10 petang.

Susulan itu, pihaknya merampas lori tangki Toyota Hino dan tangki berisi minyak diesel anggaran 1,428.57 liter dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 104,000.

"Anggota kita membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang mencurigakan dipandu seorang lelaki dan pekerja.

"Hasil pemeriksaan kita menjumpai dua tangki minyak warna putih yang berisi minyak diesel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu lori dan pekerja terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkenaan bahan api itu dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan.

"Barang kes dan suspek dibawa ke Markas PPM Wilayah 5 Sarawak untuk urusan dokumentasi dan kes diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Jalan Mawar, Pekan Bekenu, Miri pada Rabu lalu, pihaknya turut merampas lori dan minyak diesel seludup dianggarkan bernilai RM 42,653.35.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun ditangkap dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu kerana membawa muatan lapan tong drum warna merah berisi minyak diesel lebih kurang 1609.557 liter yang dimuatkan di ruang belakang lori.

"Kita membuat pemerhatian lebih kurang setengah jam dengan menahan dan memeriksa sebuah lori satu tan di lokasi itu," katanya.

Katanya, kes akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X