Sabtu, 9 Mei 2020 | 12:02pm
Warga Indonesia menerima sumbangan makanan daripada PEKA Gua Musang. - Foto NSTP/Ramli Ibrahim
Warga Indonesia menerima sumbangan makanan daripada PEKA Gua Musang. - Foto NSTP/Ramli Ibrahim

Ikat perut seminggu, habis wang beli barang keperluan

GUA MUSANG: Seramai 100 pekerja asing di sini, kehabisan bekalan makanan hingga mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang yang menghulur sumbangan hari ini.

Warga asing yang tidak boleh bekerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, membabitkan buruh kilang papan dan penoreh getah.

Buruh warga Indonesia, Asun Baha, 49, berkata dia terpaksa ikat perut selama seminggu berikutan kehabisan wang untuk membeli barang keperluan.

Asun memuji keprihatinan PEKA menghulurkan sumbang bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam saat cemas kehabisan makanan dan wang.

Katanya, mereka berbelanja dengan lebih jimat cermat tetapi disebabkan tempoh PKP lama, mereka berdepan dengan masalah itu.

"Nasib baik kami mendapat perhatian penduduk tempatan menghulur makanan sudah dimasak terutama Ramadan ini sama ada berbuka dan bersahur.

"Kami berterima kasih kepada PEKA yang diibaratkan penyelamat kami untuk kelangsungan hidup," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PEKA Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata pihaknya menerima aduan ramai warga asing terputus bekalan makanan.

Beliau berkata, pihaknya membantu mereka dengan menghulur bakul makanan supaya tidak berdepan dengan kebuluran.

Katanya, walaupun mereka dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar, PEKA mengambil cakna dan turut membantunya.

Berita Harian X