Rabu, 6 Mei 2020 | 9:10pm
Jamaludin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan daripada Yayasan MRCB kepada pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur. - Pix Ihsan Yayasan MRCB
Jamaludin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan daripada Yayasan MRCB kepada pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur. - Pix Ihsan Yayasan MRCB

Yayasan MRCB sumbang 2,500 pek makanan kepada petugas HKL

KUALA LUMPUR: Yayasan MRCB menyumbang 2,500 pek makanan berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Inisiatif itu bermula Isnin lalu dan akan diteruskan sehingga 16 Mei depan, dengan 200 pek makanan akan disumbangkan setiap hari sepanjang tempoh berkenaan.

Sumbangan dijangka diberikan kepada sekurang-kurangnya 1,200 petugas barisan hadapan merangkumi doktor, jururawat, pembantu perubatan, polis bantuan, kakitangan pentadbiran dan lain-lain.

Pengerusi Yayasan MRCB, Jasmine Abdullah Heng, berkata inisiatif itu dilakukan atas rasa prihatin terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 dan bertambah mencabar ketika Ramadan yang memerlukan mereka berpuasa ketika bertugas.

"Kami harap sumbangan kecil ini dapat mengurangkan kebimbangan mereka memikirkan juadah berbuka, sekali gus dapat menikmati makanan disumbangkan ini.

"Membantu komuniti adalah asas yayasan ini dan kami amat rendah hati dapat memainkan peranan membantu meringankan impak COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pemegang Amanah Yayasan MRCB, Jamaludin Zakaria, menyampaikan sumbangan pek makanan itu kepada Ketua Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Makanan HKL, Ridzoni Sulaiman.

Jamaludin turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan, dedikasi dan komitmen semua petugas barisan hadapan dalam menguruskan pandemik itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X