Selasa, 5 Mei 2020 | 1:37pm
Peniaga yang menjual beras sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pasar Payang, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori
Peniaga yang menjual beras sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pasar Payang, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Terengganu longgarkan kebenaran tempoh operasi

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu menerima pakai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula berkuatkuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, berkata keputusan kerajaan negeri menerima pakai PKPB tertakluk kepada perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 dan boleh ditarik balik sekiranya didapati tahap pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), rendah.

"Walaupun PKPB dilaksanakan, hakikatnya kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kelima dan kehidupan seharian tetap berlangsung dalam suasana normal baharu.

"Kesedaran dan kawalan kendiri setiap individu dapat dioptimumkan dan pesanan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk amalan penjarakkan sosial, kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pencuci serta memakai topeng hidung dan mulut ketika keluar rumah perlu dipatuhi," katanya.

Katanya, kerajaan melonggarkan kebenaran tempoh operasi premis perniagaan bertujuan merancakkan sektor ekonomi bagi membantu rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu.

"Antara kelonggaran adalah kebenaran beroperasi untuk premis tertentu seperti disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kelonggaran waktu operasi kepada premis perniagaan dibenarkan hingga 10 malam berbanding 8 malam sahaja sepanjang tempoh PKP.

"Stesen minyak antara premis perniagaan yang dibenarkan memanjangkan tempoh operasi, tetapi tertakluk kepada kelulusan akan dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sebelum ini ia hanya dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 8 malam, " katanya.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas kelulusan kerajaan melaksanakan PKPB, berkuatkuasa semalam.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal, menjelaskan semua premis perniagaan yang dikategorikan dalan sektor makanan atau perniagaan berpremis dibenarkan beroperasi dari 5 pagi hingga 12 tengah malam, manakala masa kehadiran pelanggan ditetapkan dari 3 petang hingga 10 malam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X