Isnin, 4 Mei 2020 | 5:06pm
Gambar fail, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Gambar fail, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Tindakan ke atas pemilik restoran jika pelanggan tidak patuh SOP

KUALA TERENGGANU: Polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kedai makan, sekiranya pelanggan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, selain tindakan undang-undang terhadap pelanggan yang melanggar SOP berkenaan.

"Pemilik kedai makan wajib memastikan pelanggan masing-masing mengikut penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dengan hanya empat pelanggan dibenarkan duduk semeja.

"Walaupun kita melaksanakan PKPB bermula hari ini, kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat yang akan berakhir 12 Mei depan, jadi tindakan undang-undang kerana ingkar PKP masih boleh diambil.

"Bagi memastikan pemilik kedai makan dan pelanggan dapat mematuhi SOP ditetapkan, kita akan melakukan pemantauan, terutama di kedai makan yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Saya juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu teruja dengan kelonggaran diberikan dan patuhi SOP ditetapkan sepanjang tempoh PKPB ini kerana tindakan undang-undang kerana melanggar PKP masih releven untuk diambil," katanya.

Roslee turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu teruja dengan kelonggaran diberikan sepanjang tempoh PKPB, terutama bagi golongan yang berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak.

"Bagi golongan berisiko, jika boleh cuba elak ke lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai kerana COVID-19 ini masih ada.

"Kerajaan memberi kelonggaran bagi memberi peluang kepada rakyat untuk bangkit kembali, terutama dalam sektor kewangan dan kelonggaran itu bukan alasan untuk orang ramai tidak mematuhi arahan ditetapkan," katanya.

Pada masa sama, Roslee berkata, sepanjang tempoh PKP fasa satu, dua dan tiga, statistik jenayah di Terengganu menunjukkan penurunan kecuali jenayah komersial yang menunjukkan peningkatan 30 peratus, terutama membabitkan penipuan sindiket Macau scam dan e-belian.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X