Ahad, 3 Mei 2020 | 12:50pm
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik. - Foto NSTP
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik. - Foto NSTP

PKPB: Hanya sektor tertentu boleh beroperasi di NS

SEREMBAN: Hanya sektor ekonomi tertentu boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Negeri Sembilan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata walaupun kerajaan negeri bersetuju melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, langkah kawalan ketat masih diperlukan memandangkan kes baharu COVID-19 terus dicatat di Negeri Sembilan.

"Kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan melonggarkan PKP fasa keempat seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terbabit dalam PKPB.

"Namun begitu, memandangkan kes baharu COVID-19 di Negeri Sembilan masih berlaku dan untuk tujuan pengawalan, kerajaan negeri menetapkan

beberapa syarat dan peraturan.

"Hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB.

"Restoran, kedai makan dan premis makan berlesen yang boleh beroperasi tidak dibenarkan makan di premis (dine-in), sebaliknya pembelian makanan dibawa pulang, perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu.

"Syarat ini juga terpakai untuk semua kenderaan saji," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razali berkata, bagi kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 baharu dan tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kedai sekitar Pasar Besar Seremban serta Pasar Bahau, operasi sektor ekonomi tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, syarikat atau premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Mana-mana syarikat atau premis perniagaan yang melanggar SOP tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengkaji tatacara berkenaan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini penularan COVID-19.

PKPB akan bermula esok dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan kerajaan bagi mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara serta kepentingan membendung wabak COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X