Sabtu, 2 Mei 2020 | 10:33am
Antara tenaga pengajar Kolej Komuniti dan Kolej Komuniti Baling yang terbabit dalam projek menjahit PPE. - Foto ihsan Kolej Komuniti Sungai Petani.
Antara tenaga pengajar Kolej Komuniti dan Kolej Komuniti Baling yang terbabit dalam projek menjahit PPE. - Foto ihsan Kolej Komuniti Sungai Petani.

Kolej Komuniti Sungai Petani dan Baling bekerjasama jahit PPE

SUNGAI PETANI: 20 tenaga pengajar Kolej Komuniti Sungai Petani dan Kolej Komuniti Baling bergabung tenaga menyiapkan set peralatan perlindungan diri (PPE) buat petugas barisan hadapan di negeri ini.

Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani, Khairul Anuar Ishak, berkata projek yang bermula 23 April itu membabitkan tenaga pengajar kelas jahitan, kulinari, automotif dan pengajian am.

"Kolej Komuniti Sungai Petani dijadikan pusat penyediaan PPE berikutan kami mempunyai bengkel jahitan selain majoriti mereka yang sukarelawan melaksanakan projek ini tinggal di sekitar Sungai Petani," katanya.

Khairul berkata, setakat ini, sebanyak 2,000 set PPE sudah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) serta klinik kesihatan sekitar daerah Kuala Muda.

Katanya, pihaknya sedang berusaha menyiapkan kira-kira 2,000 set PPE lagi yang dijangka siap selewat-lewatnya minggu hadapan.

"Bagi fasa dua ini, kami merancang menyerahkan kepada beberapa lagi hospital dan klinik kesihatan di sekitar negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata, projek jahitan itu menggunakan bahan yang disumbangkan Yayasan Hasani, Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia, Sedekah Jariah Ustaz Ghani Harun, Persatuan Sayang dan Dana COVID Team S&S.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X