Jumaat, 1 Mei 2020 | 1:11pm
Bulan April dinantikan oleh peminat pencadat sotong di Terengganu namun aktiviti itu tidak dibenarkan ketika PKP. -Gambar hiasan
Bulan April dinantikan oleh peminat pencadat sotong di Terengganu namun aktiviti itu tidak dibenarkan ketika PKP. -Gambar hiasan

Tak boleh mencandat sepanjang tempoh PKP

KUALA TERENGGANU : Orang awam tidak dibenarkan ke laut termasuk melakukan aktiviti mencandat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata hanya nelayan tempatan yang memiliki permit atau lesen sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia sahaja dibenarkan untuk tujuan berkenaan sepanjang tempoh PKP.

"Kita tahu aktiviti mencandat sotong yang bermula April di Terengganu ini dinantikan peminatnya namun aktiviti itu tidak dibenarkan ketika PKP ini.

"Jadi, kita mengingatkan semua nelayan supaya tidak membenarkan individu atau kumpulan yang bukan kru sah berada di atas bot mereka bagi tujuan melakukan aktiviti mencandat sotong.

"Tindakan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang ingkar.

"Malah, kita juga tidak teragak-agak menarik semula kebenaran untuk bot beroperasi yang diberikan sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan rondaan pengawasan Op COVID-19 di perairan negeri terutama bagi mengelak kemasukan nelayan asing yang dikhuatiri membawa kepada penularan COVID-19.

Katanya, selain melaksanakan tugas bagi memastikan PKP dipatuhi, pihaknya juga melakukan rondaan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pencerobohan nelayan asing terutama nelayan asing Vietnam.

"Sehingga hari ini, sebanyak 26 pengusiran bot nelayan dari Vietnam dilakukan.

"Tindakan ini selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang menyatakan tindakan pengusiran dilaksanakan terhadap bot nelayan asing tanpa tangkapan," katanya.

Dalam perkembangan lain Muhammad Suffi, berkata pihaknya turut memberi bantuan berbentuk keperluan asas kepada komuniti nelayan yang terjejas sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Katanya, bantuan yang diagihkan melalui wakil Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan itu diharap dapat meringankan beban mereka yang terjejas.

Berita Harian X