Khamis, 30 April 2020 | 2:09pm
Penolong Kanan Komisioner, Muhammad Nazri Nasrudin (dua dari kiri) melihat seorang penghuni Penjara Seremban menyiapkan PPE untuk petugas barisan hadapan. - Foto ihsan Penjara Seremban
Penolong Kanan Komisioner, Muhammad Nazri Nasrudin (dua dari kiri) melihat seorang penghuni Penjara Seremban menyiapkan PPE untuk petugas barisan hadapan. - Foto ihsan Penjara Seremban

Hampir 5,000 PPE dihasilkan penghuni penjara

SEREMBAN: Terkurung di sebalik tirai besi tidak menghalang 30 penghuni Penjara Seremban untuk menyumbang tenaga dan kemahiran apabila menyiapkan 4,838 kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengarah Jabatan Penjara Seremban, Penolong Kanan Komisioner, Muhammad Nazri Nasrudin, berkata projek menjahit PPE itu bermula awal bulan ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima permintaan daripada Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ), Pusat Kesihatan Daerah (PKD), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ).

"Sehingga kini kami sudah menyiapkan PPE membabitkan pakaian, sarung kepala dan kasut sebanyak 4,838 unit yang diserahkan kepada pihak yang berkenaan.

"Bagi HTJ sahaja, kami menyiapkan PPE membabitkan pakaian dan sarung kepala sebanyak 1,680, manakala bagi keperluan PKD pula sebanyak 1,460 unit membabitkan pakaian, sarung kepala dan kasut," katanya di sini, hari ini.

Muhammad Nazri berkata, setiap hari, penghuni yang mendapat bimbingan tenaga pengajar dan dibantu kakitangan penjara mampu menghasilkan sekitar 250 unit PPE dengan proses menjahit bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, projek menjahit PPE ini akan diteruskan sehingga wabak COVID-19 berakhir.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X