Selasa, 28 April 2020 | 1:58pm

COVID-19: Selangor kesan 8 pesakit tanpa gejala

SHAH ALAM : Saringan Komuniti COVID-19 Selangor merekodkan sebanyak 5,433 sampel diuji dengan 10 daripadanya disahkan positif.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata daripada jumlah itu lapan pesakit tidak bergejala (asymptomatic) manakala dua pesakit dikesan dengan simptom seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

"Hulu Langat merekodkan satu kes dengan simptom dan empat tidak bergejala. Petaling dan Klang merekodkan satu dengan simptom dan dua tidak bergejala manakala Shah Alam dan Gombak masing-masing merekodkan satu tidak bergejala.

"Keputusan itu diperolehi melalui saringan yang membabitkan Hulu Langat sebanyak 648, Shah Alam (SUK) sebanyak 136, Petaling dan Klang (1,826), Shah Alam (391), Sepang (397), Hulu Selangor (382) dan Gombak (1,653).

"Mereka yang sudah menjalani saringan komuniti ini boleh memuat turun laporan pemeriksaan berkenaan di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menjalankan beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar di kawasan-kawasan zon merah bagi membantu usaha melandaikan keluk sekaligus memutuskan penularan rantaian wabak COVID-19.

"Inisiatif Saringan Komuniti COVID-19 ini berlangsung sebanyak tujuh pusingan membabitkan enam kawasan bermula di Hulu Langat pada 11 dan 12 April 2020 dan berakhir dengan Bandar Baru Selayang pada 22 dan 23 April 2020.

"Kerajaan Negeri akan meneruskan saringan komuniti di Selangor bagi membantu usaha KKM mengenalpasti individu yang dijangkiti virus ini terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi.

"Inisiatif saringan komuniti ini akan terus dilaksanakan dalam masa terdekat secara strategik dengan mengambil kira dapatan Selangor Task Force COVID-19 bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi norma baharu pasca-PKP dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri, " katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan secara pandu lalu dan dari rumah ke rumah (termasuk rumah penjagaan orang tua) ini menggunakan kaedah RT-PCR.

"Kaedah yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini dilaksanakan secara bersepadu antara anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SELCARE Clinic bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), " katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X