Ahad, 26 April 2020 | 5:24pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto Muhd Asyraf Sawal
MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Tunai zakat harta di kediaman bagi warga emas, uzur

KUANTAN: Umat Islam khususnya mereka yang berusia dan uzur boleh membuat temu janji dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bagi urusan pembayaran zakat harta di kediaman masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kemudahan itu diberikan kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk melakukan bayaran secara dalam talian.

Katanya, bayaran zakat harta boleh dilakukan di kediaman pembayar berkenaan mengikut langkah keselamatan yang ditetapkan seperti pemakaian penutup mulut dan hidung.

"Petugas PKZ Pahang perlu menjaga penjarakan sosial dan menggunakan cecair pensanitasi tangan bagi membendung penularan COVID-19.

"Mereka juga diminta untuk meminimumkan masa urusan bersama pembayar, tidak dibenarkan bersalaman dengan pembayar dan pembayar hanya dibekalkan resit sementara.

"Resit rasmi pembayaran akan diposkan kepada pembayar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pembayar zakat yang tidak berdepan masalah pembayaran secara dalam talian, Wan Rosdy berkata, mereka boleh berbuat demikian melalui portal rasmi PKZ Pahang www.zakatpahang.my.

Katanya, segala bayaran zakat harta hendaklah dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi PKZ, pertukaran proses kewangan (FPX) dan perbankan internet melalui 12 bank terpilih.

"Pembayar juga boleh menggunakan aplikasi PahangGo iaitu secara debit, kad kredit atau e-Wallet," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X