Sabtu, 25 April 2020 | 10:55pm
Rosol menyerahkan pek kurma kepada wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan Manir di Kuala Berang, Hulu Terengganu
Rosol menyerahkan pek kurma kepada wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan Manir di Kuala Berang, Hulu Terengganu

Kurma untuk penduduk, barisan hadapan Hulu Terengganu

KUALA BERANG: Sebanyak 23,000 kotak kurma diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan penduduk dalam kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

Ahli Parlimennya, Datuk Rosol Wahid, berkata sumbangan kurma itu diagihkan secara berperingkat membabitkan 23,000 kediaman dan petugas barisan hadapan, termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, pengagihan kurma kepada masyarakat seluruh Parlimen itu dilakukan dengan kerjasama empat Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN).

"Sumbangan kurma itu bertujuan mengimarahkan Ramadan yang disambut sederhana tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19," katanya ketika ditemui pada pelancaran agihan kurma di Pejabat Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Yang turut hadir adalah ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Manir, Hilmi Harun.

Hadir sama adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Muhyiddin Abd Rashid dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintandan Mohd Adli Che Daud.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata walaupun umat Islam di seluruh negara terpaksa meraikan kedatangan Ramadan dengan penuh sederhana dan terikat dengan PKP, tetapi masyarakat Islam diharap mampu mengimarahkan dengan aktiviti keagamaan di kediaman masing-masing.

Jelasnya, sambutan Ramadan tahun ini menjadi satu sejarah kerana bukan rakyat di negara ini sahaja, tetapi seluruh dunia juga terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Walaupun tidak dapat menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah di surau atau masjid mahupun berkumpul bersama ibu bapa dan keluarga tercinta untuk menyambut Ramadan, janganlah dipersiakan kesempatan yang ada untuk memperbanyakkan amal ibadat.

"Negara semakin hampir kemenangan untuk memutuskan rantaian COVID-19. Justeru seluruh rakyat diminta terus patuh arahan kekal di rumah, menjaga penjarakan sosial, jaga kebersihan diri dan mengenakan penutup hidung dan mulut jika keluar rumah bagi mengelak risiko jangkitan," katanya.

Berita Harian X