X
Jumaat, 24 April 2020 | 9:02pm
Tinjauan di premis menjual makanan dan minuman sekitar Pasir Pekan, di sini mendapati pengunjung mematuhi penjarakan sosial. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Tinjauan di premis menjual makanan dan minuman sekitar Pasir Pekan, di sini mendapati pengunjung mematuhi penjarakan sosial. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Penjarakan sosial jadi amalan beli juadah buka puasa

TUMPAT: Amalan penjarakan sosial sejak lebih sebulan lalu, menjadikannya sebahagian daripada norma kebiasaan baharu pengunjung membeli atau memilih juadah berbuka puasa di sini.

Hasil tinjauan di lebih 10 premis menjual makanan dan minuman sekitar Pasir Pekan, di sini mendapati tiada kesesakan pembelian walau ada dalam kalangan pembeli tidak beratur.

Seorang penjual air kelapa, Siti Aisyah Sulaiman, 34, berkata sejak memulakan jualan jam 3 petang tadi, orang ramai mulai datang ke gerainya dan terus beratur.

"Ada juga yang enggan menunggu dan cuba memotong barisan termasuk menerjah gerai seperti sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) namun kami menasihati mereka mematuhi peraturan.

"Walaupun penat berpuasa, itu bukan alasan untuk pembeli mengabaikan peraturan untuk beratur, menjaga jarak dan memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di gerainya, di sini.

Situasi yang sama kelihatan di sebuah restoran menjual roti tempayan yang selain menjual secara langsung, pengurusan premis itu juga menjalankan tempahan secara atas talian serta membuat penghantaran ke rumah pelanggan.

Peniaga, Mohd Faizul Rohban Ahmad, 35, berkata pelanggan yang datang sentiasa mematuhi peraturan penjarakan sosial yang perlu dibuat dan jika ada pelanggan dalam kalangan warga emas, dia menyediakan kerusi untuk duduk sementara menunggu giliran tiba.

"Lagipun kami juga menjalankan tempahan melalui atas talian dan pembeli akan datang mengambil roti atau murtabak sebaik selesai dimasak tanpa perlu beratur panjang," katanya yang sudah 15 tahun menjalankan perniagaan itu.

Sementara itu, seorang pembeli, Ismadi Deraman, 45, menyifatkan beratur dalam keadaan penjarakan sosial lebih menyegerakan urusan jual beli berbanding saling berebut memilih menu dan membuat tempahan.

Dia berkata, jika pada hari biasa, jual beli di gerai yang menjual juadah untuk berbuka puasa agak kelam kabut yang mungkin disebabkan pembeli enggan menunggu disebabkan penat berpuasa membuatkan mereka saling berebut, tetapi situasi pembelian di waktu PKP dilihat agak tenang.

"Mungkin disebabkan kita sudah biasa dengan penjarakan sosial dan orang tidak ramai yang keluar membeli juadah kerana masing-masing sudah memasak di rumah menyebabkan sudah tiada lagi keadaan bersesak ketika membeli juadah berbuka puasa seperti sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X