Khamis, 23 April 2020 | 3:20pm

Tradisi 200 tahun sambutan Ramadan terpaksa dibatalkan

KUBANG PASU : Sambutan Ramadan bagi penduduk di Kampung Pulau Timbul di sini agak sepi apabila tradisi memasak bubur lambuk dan air halia warisan 200 tahun lalu, terpaksa dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tukang masak, Che Ahmad Abdul Hamid, 63, mengakui dia sedikit terkilan tidak dapat menyediakan menu berkenaan kepada penduduk setempat selepas 22 tahun mewarisi kerja itu.

Katanya, setiap tahun menjelang Ramadan dia akan sibuk membuat persiapan bagi menyediakan bahan memasak, termasuk mengumpul dana daripada individu tertentu.

"Resepi menyediakan hidangan ini diperturunkan dari nenek moyang kami yang berasal dari India, dan sehingga kini saya masih menyediakan air halia menggunakan periuk tembaga yang disimpan sejak turun temurun.

"Periuk tembaga ini dipercayai dibawa oleh pedagang India dulu, merekalah yang membawa resepi yang saya masak sekarang. Saya sendiri masih mengekalkan cara masak secara tradisional termasuklah menggunakan kayu api," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Timbul, di sini, hari ini.

Bapa kepada lima anak ini, berkata dia pasti akan merindui suasana menyediakan menu berkenaan berikutan cara memasaknya perlu di atas tempat khas yang di bawahnya unggun api.

Katanya, dia tidak kisah melakukan tanggungjawab itu kerana segala penat lelahnya akan berbaloi apabila melihat orang ramai berpusu-pusu mahu mengambil makanan itu.

"Saya akan mula masak pada jam 2 petang dan seawal jam 3 petang orang ramai sudah mula beratur, mereka adalah 'pelanggan' tetap kami dan ada yang datang dari Padang Terap, Alor Setar dan Perlis semata-mata untuk mengambil bubur lambuk dan air halia.

"Saya menggunakan 15 kilogram (kg) beras bagi memasak satu kawah bubur lambuk manakala sebanyak dua kg halia akan digunakan bagi menyediakan air halia yang akan dicampur dengan beberapa jenis rempah lagi," katanya yang sering menyediakan menu itu untuk 500 orang.

Che Ahmad atau lebih dikenali sebagai Che Mad air halia, berkata dia bercadang untuk menyediakan bubur lambuk dan air halia selepas Hari Raya Aidiladha bagi menghilangkan rasa kempunan penduduk kampung yang tidak dapat menikmati menu berkenaan sepanjang Ramadan tahun ini.

Bagi Habibah Ahmad, 68, dia berasa sedih berikutan Ramadan ini akan menjadi sejarah dalam hidupnya apabila buat kali pertama tidak dapat menikmati bubur lambuk dan air halia warisan kampung itu.

"Semoga tahun depan tradisi ini akan kembali, bubur lambuk dan air halia yang disediakan Che Mad sangat istimewa dan dia berjaya mengekalkan rasa orang tua-tua dahulu masak," katanya yang tinggal bersebelahan dengan masjid kampung itu.

Che Ahmad Abdul Hamid, 63, menunjukkan periuk tembaga yang digunakan untuk memasak air halia pada bulan Ramadan di Masjid Kampung Pulau Timbul,Tunjang, Jitra.- Foto NSTP/Amran Hamid
Che Ahmad Abdul Hamid, 63, menunjukkan periuk tembaga yang digunakan untuk memasak air halia pada bulan Ramadan di Masjid Kampung Pulau Timbul,Tunjang, Jitra.- Foto NSTP/Amran Hamid
Berita Harian X