Selasa, 21 April 2020 | 6:29pm

PKP: IKBN Peretak hasilkan PPE untuk barisan hadapan Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghasilkan pakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk petugas kesihatan barisan hadapan di Hulu Selangor.

Setakat ini, IKBN Peretak yang juga di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menghasilkan 591 ‘Isolation Gown’ daripada 2,000 meter fabrik ‘non woven’ dan 50 pelindung kepala (hood cover).

Pengarah IKBN Peretak, Normahsyuri Md Shariff, berkata pihaknya melalui tenaga pengajar Jabatan Teknologi Tekstil melakukan usaha itu bagi memenuhi keperluan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor untuk menyediakan pakaian PPE buat petugas kesihatan COVID-19.

Beliau berkata, bahan asas seperti fabrik dibekalkan PKD Hulu Selangor dan pihaknya dengan lapan tenaga kerja melakukan proses menjahit di Bengkel Inkubator, Jabatan Teknologi Tekstil IKBN Peretak.

“Setiap petugas hanya boleh memakai PPE ini untuk merawat seorang pesakit sahaja dalam satu masa dan kemudiannya ia perlu ditukar dengan sut yang baharu sekiranya mahu merawat pesakit yang lain.

“Jadi, PPE menjadi keperluan utama semua hospital seluruh negara. Oleh itu, kami bersetuju menyediakan PPE ini yang dilaksanakan dengan mengambil kira peraturan-peraturan sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Normahsyuri berkata, pakaian yang siap dijahit diserahkan sepenuhnya kepada PKD Hulu Selangor untuk diedarkan kepada Pejabat dan Klinik Kesihatan Daerah Hulu Selangor mengikut keperluan.

Katanya, bagi fasa kedua, IKBN Peretak dengan kerjasama PKD akan menghasilkan 1,500 unit lagi pakaian PPE Isolation Gown atas permintaan pihak petugas barisan hadapan.

“Dalam situasi sekarang pemakaian PPE diklasifikasikan sebagai langkah terakhir kawalan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan apabila mereka berhadapan dengan pesakit yang mempunyai gejala COVID-19.

“Oleh itu, kami anggap usaha kami ini sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertugas dengan risiko demi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Tenaga pengajar IKBN Peretak menghasilkan pakaian PPE untuk petugas barisan hadapan di Hulu Selangor. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
    Tenaga pengajar IKBN Peretak menghasilkan pakaian PPE untuk petugas barisan hadapan di Hulu Selangor. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
    Berita Harian X