PORT DICKSON: Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) daerah ini menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan Hospital Port Dickson (HPD).
Guru Besar PASTI Bandar Springhill, Siti Salina Samaun, berkata, setakat ini, pihaknya juga sudah menyiapkan lebih 3,700 pelindung kepala dan kasut, sebagai sokongan kepada barisan petugas hadapan selain mengisi masa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami ada ramai guru PASTI yang menjadi sukarelawan menjahit bagi menyiapkan PPE untuk disumbangkan bagi kegunaan petugas barisan hadapan di HPD.
“Kami sedang tunggu bahan material untuk dijahit dan dijadikan gaun bagi petugas barisan hadapan ini kerana mereka perlu sentiasa memakai PPE sepanjang penugasan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di daerah ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, pihak HPD hanya membekalkan kain untuk dijahit tetapi getah dan benang perlu beli sendiri kerana hospital kehabisan bekalan itu.
“Ini antara sumbangan kecil yang mampu kami buat untuk sama-sama menyumbang demi negara ketika ditimpa musibah seperti ini. Kita membelanjakan RM400 untuk beli bahan getah dan benang,” katanya.