Ahad, 19 April 2020 | 9:03am
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan, Dr Johari Yap (kanan) menyerahkan pakaian perlindungan diri (PPE) kepada Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, Dr Adam Firdaus Dahlan (dua kiri) yang sebelum ini disumbangkan oleh MACMA Terengganu. - Foto NSTP/ Ihsan MACMA
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan, Dr Johari Yap (kanan) menyerahkan pakaian perlindungan diri (PPE) kepada Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, Dr Adam Firdaus Dahlan (dua kiri) yang sebelum ini disumbangkan oleh MACMA Terengganu. - Foto NSTP/ Ihsan MACMA

MACMA Kelantan giat menyiapkan 3,000 PPE

KOTA BHARU: Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan akan mengagihkan 3,000 set lengkap pakaian perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan di seluruh negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi MACMA Kelantan, Dr Johari Yap, berkata pihaknya mendapat peruntukan dana dari Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn Bhd, Hafizuddin Hiew dan juga sumbangan ahli MACMA, bagi menyediakan PPE berkenaan.

Katanya, sebanyak 1,000 set PPE lengkap terdiri daripada gaun, penutup kepala, penutup kaki dan penutup but kini sedang dijahit oleh sukarelawan MACMA Terengganu, manakala 2,000 set lagi dijahit sendiri oleh ahli MACMA Kelantan iaitu dalam kalangan mualaf dan dibantu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Bahan asas yang digunakan untuk menjahit PPE adalah kain jenis ‘non woven’ yang sudah ditempah di sebuah kilang di Kedah, namun diberitahu ianya sudah kehabisan stok dan perlu menunggu selain harganya juga meningkat tiga kali ganda daripada kebiasaaanya.

“Ini sekaligus menyebabkan kos bahan mentah untuk menyiapkan PPE meningkat kepada RM100 sepasang, berbanding RM30 sebelum ini. Namun bukan ini yang menjadi ukurannya jika dibandingkan dengan nyawa petugas barisan hadapan yang berdepan dengan risiko boleh mengancam nyawa mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Johari berkata, bagi mempercepatkan proses menjahit PPE berkenaan, MACMA Kelantan akan memohon kerjasama daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk meminjam mesin jahit kerana buat masa ini hanya ada empat mesin jahit.

Katanya, sebelum ini, pihaknya sudah menyerahkan 100 set PPE kepada Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh dan 50 set lagi diberikan kepada Klinik Kesihatan Wakaf Bharu.

Berita Harian X