Rabu, 15 April 2020 | 2:15pm
Anggota bomba berusaha memotong sebatang pokok mangga yang menghempap kereta di Kampung Sanusi, Mukim Kuah, Langkawi. - Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha memotong sebatang pokok mangga yang menghempap kereta di Kampung Sanusi, Mukim Kuah, Langkawi. - Ihsan Bomba

Tiga kereta rosak ditimpa pokok tumbang

LANGKAWI: Tiga kereta yang di parkir di kawasan lapang berhampiran surau rosak akibat dihempap pokok tumbang di Kampung Sanusi, Mukim Kuah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada 11 pagi itu tiada kecederaan atau kemalangan jiwa pada mangsa dilaporkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi.

“Sejurus itu, sepasukan tujuh anggota bomba berserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan.

“Lokasi kejadian adalah berhampiran surau yang dijadikan tempat letak kenderaan oleh penduduk,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, di sini.

Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi, bomba mendapati sebatang pokok mangga yang reput dimakan anai-anai telah tumbang menghempap tiga kereta.

“Tiga kereta iaitu Proton Saga FLX, Honda CRV dan Proton Wira didapati rosak, namun tidak membabitkan mangsa.

“Anggota bomba menggunakan gergaji berantai bagi membersihkan pokok itu, dan ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik,” katanya.

Berita Harian X