Rabu, 15 April 2020 | 10:45am

COVID-19: Profesional perubatan, pelajar siapkan 500 PPE

KOTA BHARU: Golongan profesional perubatan bersama pelajar universiti berganding bahu menyiapkan lebih 10,000 pelindung muka dan 500 pakaian perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din, berkata seramai 21 sukarelawan termasuk pekerja bidang kesihatan yang juga ahli PAPISMA turut terbabit, selain graduan perubatan dari Universiti al-Azhar dan Universiti Mansoura di Mesir serta lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Misi bantuan COVID-19 ini, bermula 17 Mac lalu selepas melihat situasi semasa yang memerlukan gerakan bagu memastikan peralatan keselamatan tersedia untuk petugas barisan hadapan.

“Awalnya, kami menghasilkan lebih hand sanitizer memandangkan ahli dalam kalangan saintis dan pensyarah bidang perubatan berpengalaman mencipta cecair pembasmi kuman menggunakan bahan seperti alkohol dan air suling mengikut kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kami kemudian menerima sumbangan orang ramai yang turut membantu, sekali gus hasil bantuan itu membolehkan kami membeli barangan untuk menghasilkan pelindung muka secara sendiri (DIY),” katanya di pusat PAPISMA di Kampung Chicha di sini, semalam.

Setakat hari ini, selain pelindung muka serta PPE, pihak PAPISMA mengedarkan lebih 2,000 topeng muka; penutup kepala (584); penutup kasut (736) dan sumbangan makanan (18,237) hasil bantuan orang ramai kepada petugas memerlukan.

Dr Tengku Ahmad Damitri berkata, mereka kemudian menghasilkan PPE dengan bantuan tukang jahit luar di sekitar ibu negeri ini yang diagihkan selepas ahli PAPISMA membuat tempahan dan menyediakan kain bersesuaian.

“Permintaan PPE sangat tinggi hingga kami perlu mengagihkan dengan jumlah terhad bukan sahaja ke seluruh klinik dan hospital di Kelantan, bahkan beberapa negeri seperti Selangor, Terengganu serta Johor.

“Kami berharap sumbangan terus diberikan agar PAPISMA dapat menghasilkan lebih banyak peralatan keselamatan kepada semua petugas barisan hadapan secara berterusan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua graduan yang sudi bersama PAPISMA membantu wira negara yang juga petugas di hospital atau klinik seluruh negara,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din (kanan) bersama sukarelawan menyiapkan PPE untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
    Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) cawangan Kelantan, Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din (kanan) bersama sukarelawan menyiapkan PPE untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. - Foto NSTP/Syaherah Mustafa
    Berita Harian X