Sabtu, 11 April 2020 | 10:42am
Pesara yang juga sukarelawan HUSM, Zaini Mohd Nor bertungkus-lumus menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan barisan hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. - Foto ihsan USM
Pesara yang juga sukarelawan HUSM, Zaini Mohd Nor bertungkus-lumus menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan barisan hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. - Foto ihsan USM

COVID-19: Pesara HUSM terpanggil bantu hasilkan PPE

KOTA BHARU: Biarpun bersara, bekas kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menyumbang bakti dengan membantu menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan barisan hadapan hospital itu di Kubang Kerian, di sini.

Bekas Ketua Unit, Unit Rekod Perubatan HUSM, Zaini Mohd Nor, berkata, beliau menghubungi urusetia projek inovasi PPE, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) HUSM untuk menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk menjahit dan menghasilkan PPE.

Zaini berkata, meskipun sudah bersara pilihan pada 2018, ia tidak menutup peluang terus menyumbang bakti terutama apabila HUSM membuka pintu kepada sesiapa berminat menjadi sukarelawan.

“Hati terusik dan sedih melihat keadaan petugas barisan hadapan negara memerangi COVID-19 kerana ada antara mereka yang mempunyai kemahiran menjahit, terpaksa ‘mencuri masa’ untuk menghasilkan PPE.

“Saya terharu melihat kesungguhan semua pihak turun padang dan mengorbankan masa serta tenaga menghadapi krisis COVID-19 dan berasa terpanggil turut serta biarpun di belakang tabir.

“Ia cukup bermakna apatah lagi dengan kesungguhan kakitangan dan penuntut USM yang komited melakukan kerja masing-masing apabila ada yang memotong kain dan menjahit untuk menyiapkan set PPE bagi menampung keperluan di HUSM,” katanya.

Katanya, dengan kebolehan menjahit, beliau puas dapat menyediakan PPE untuk kegunaan petugas perubatan mahupun petugas di makmal USM.

Zaini berkata, ketika masih bertugas, beliau pernah terbabit dengan krisis kesihatan dan penyakit seperti Mers-CoV dan SARS, namun ia hanya di tahap epidemik.

“Jika hendak diikutkan takut, semua orang takut dengan musuh yang kita tidak nampak ini, namun saya sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya semua manusia dilindungi daripada wabak ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X