Khamis, 9 April 2020 | 12:24pm
Sebahagian penuntut Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK), Kubang Kerian mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (faceshield) bagi membantu petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) / Foto ihsan USM
Sebahagian penuntut Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK), Kubang Kerian mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (faceshield) bagi membantu petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) / Foto ihsan USM

COVID-19: Siswa USM hasilkan pelindung muka

KOTA BHARU: Bagi memanfaatkan masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 73 penuntut Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) dekat Kubang Kerian di sini, mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (faceshield) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar USMKK, Nur Azlina Adris, berkata melalui projek #KAMIPRIHATIN yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani, mereka menyasar untuk menghasilkan 1,000 unit pelindung muka kepada kakitangan barisan hadapan yang terbabit secara langsung sebagai petugas COVID-19 di hospital berkenaan.

Katanya, setakat ini, mereka sudah menyiapkan 400 unit pelindung muka yang sudah diserahkan kepada Penyelaras, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) Hospital USM, Profesor Madya Dr Siti Suraiya Md Noor.

Pelindung muka adalah antara keperluan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang digunakan oleh petugas kesihatan barisan hadapan ketika merawat pesakit.

“Namun disebabkan kekurangan komponen yang digunakan bagi menghasilkan alat pelindung muka, projek ini akan ditangguhkan buat sementara waktu dan akan disambung semula apabila bahan yang diperlukan dapat disediakan nanti.

“Bagaimanapun, baki sebanyak 600 unit pelindung muka ini akan diselesaikan dalam tempoh masa terdekat dan diagihkan kepada pusat kesihatan serta hospital lain yang memerlukan,” katanya.

Nur Azlina berkata, pada masa sama, dia dan penuntut yang terbabit juga dalam perancangan untuk membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan menyediakan 200 unit pelindung kasut dan jubah isolasi yang turut digunakan petugas kesihatan dalam menangani wabak Covid-19.

“Saya berasa amat terharu atas sokongan penuntut yang sudi tampil sebagai sukarelawan kerana memanfaatkan masa serta menyumbang tenaga dalam tempoh PKP ini yang sedikit sebanyak memberi sumbangan sekaligus menunjukkan kebersamaan kami dalam perjuangan krisis Covid- 19,” katanya.

Berita Harian X