Rabu, 8 April 2020 | 5:29pm
Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil wartawan The News Straits Time Press (NSTP) Zaid Salim. - Foto ihsan KAWAT
Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil wartawan The News Straits Time Press (NSTP) Zaid Salim. - Foto ihsan KAWAT

Wartawan turut terima sumbangan

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Aktivis Media Inspirasi (KAMI) Terengganu menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kepada Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) untuk diagihkan kepada pengamal media di negeri itu hari ini.

Barangan keperluan asas seperti beras, gula, gandung, susu dan minyak masak itu diagihkan kepada pengamal media yang terbabit dalam tugasan di lapangan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden KAWAT, Khairul Azlam Mohamad berkata, pihaknya terharu dengan sumbangan yang diserahkan KAMI melalui Timbalan Pengerusinya, Ahmad Faizol Mohd Yusop sekali gus menghargai pengorbanan pengamal media yang turut sama berkhidmat di barisan hadapan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“Banyak pihak yang terlepas pandang mengenai kebajikan rakan media yang turut sama berkhidmat dan berada di barisan hadapan dalam menangani wabak pandemik coronavirus (COVID-19).

“Warga media juga berhadapan dengan risiko jangkitan ketika melaporkan berita yang sahih di lapangan untuk pembaca dan sepatutnya tidak terkecuali daripada dihargai semua pihak.

“Saya berterima kasih dan menghargai mana-mana pihak yang prihatin dan memberi sumbangan kepada pengamal media sepanjang PKP ini,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan KAMI kepada pengamal media Terengganu hari ini.

Khairul Azlam berkata, sebahagian pengamal media mengalami masalah kesihatan dan terdapat juga wartawan yang diberhentikan kerja sebelum PKP serta wartawan sambilan yang terjejas kerana tidak boleh menjalankan tugas seperti biasa berikutan arahan PKP.

“Sumbangan yang diterima ini dapat disalurkan kepada pengamal media yang memerlukan dan sediki- sebanyak menceriakan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim turut menyumbangkan topeng muka serta cecair pembasmi kuman kepada KAWAT bagi kegunaan ahli khususnya pengamal media di lapangan.

Berita Harian X