Rabu, 8 April 2020 | 9:12am

COVID-19: 'Hanya ada ikan selayang dua ekor'

KOTA BHARU: “Tinggal dua ekor saja ikan selayang untuk makan kami malam ini, esok lusa tak tahu mana lagi nak cari,” rintih Emilia Abdullah dari Kampung Tok Ku, Sering, di sini.

Emilia, 47, yang mencari besi buruk dan barang terpakai untuk menyara hidup adalah antara individu yang sangat terjejas sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana mata pencariannya itu langsung terputus.

Dia yang menetap di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini bersama suami, Nik Yusri Nik Abu Bakar, 48, bersama dua anak, Nik Mohd Haikal, 12 dan Nik Mohd Firdaus, 20, yang terlantar akibat saraf lemah sejak tiga tahun lalu.

Emilia berkata, jika sebelum PKP, hidup mereka sudah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana secara purata dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM15 sehari.

“Saya akan menunggang motosikal roda tiga di sekitar Sering, untuk mencari besi buruk dan barang terpakai di tong sampah sebelum dibawa pulang untuk dipilih dan dijual ke kedai besi buruk.

“Suami yang juga sakit darah tinggi dan kencing manis menjaga anak, Nik Mohd Firdaus yang terlantar di rumah.

“Apabila dilarang keluar kerana PKP, saya pun tidak berani untuk keluar mencari besi buruk kerana takut ditangkap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan dari beberapa sukarelawan yang terdiri daripada anak muda Kampung Pulau Melaka, di sini yang menghulurkan bantuan makanan asas kepada mereka.

Emilia berkata, sepanjang PKP berlangsung, mereka empat beranak hanya mengharapkan ihsan jiran tetangga dan saudara mara yang menghulurkan sedikit sebanyak bantuan makanan untuk kelangsungan hidup mereka empat beranak.

Katanya, setiap hari mereka akan makan nasi sekali atau dua kali sehari bergantung kepada lauk dan beras yang masih tersisa.

“Biasanya sarapan kami hanya makan biskut atau lempeng sahaja sekadar mengalas perut namun bagi anak yang sakit terlantar, keperluan makanannya tidak boleh terlalu dicatu kerana fizikalnya kini pun sudah sangat kurus.

“Selain untuk makan seharian, kami juga buntu bagaimana untuk mencari wang bagi pembelian ubat dan lampin pakai buang buat Nik Mohd Firdaus,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Emilia Abdullah menunjukkan lempeng gandum yang disediakannya sebagai sarapan untuk mengalas perut mereka empat beranak. - NSTP/Siti Rohana Idris
    Emilia Abdullah menunjukkan lempeng gandum yang disediakannya sebagai sarapan untuk mengalas perut mereka empat beranak. - NSTP/Siti Rohana Idris
    Berita Harian X