Jumaat, 3 April 2020 | 10:50am

COVID-19: 18 tukang jahit di Kedah bantu hasilkan PPE

ALOR SETAR: Sekumpulan 18 tukang jahit di negeri ini tampil menyediakan pakaian perlindungan diri (PPE) daripada material non-woven yang disumbangkan oleh Cancer Survivor Malaysia (CSM).

Sejak dimulakan tiga hari lalu, lebih 1,600 pakaian perlindungan diri (PPE) berjaya disiapkan dan diagihkan kepada petugas di beberapa buah hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.

Penaung CSM, Zuraini Kamal, berkata ahli CSM tampil dengan projek berkenaan kerana ingin turut sama membantu barisan hadapan negara.

Katanya, kebanyakan ahli pertubuhan CSM adalah pesakit kanser dan bekas pesakit serta ahli keluarga pesakit kanser di seluruh Malaysia, justeru mereka terpanggil untuk sama membantu.

“Saya sendiri sebagai bekas pesakit kanser turut berbesar hati untuk membantu kerana sebelum ini doktor dan jururawat banyak membantu kami ketika menjalani rawatan akibat kanser.

“Sekarang inilah masanya kami membalas budi mereka dengan memberi sumbangan PPE ini untuk kegunaan mereka ketika COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Kedah, semalam.

Zuraini berkata, PPE yang siap akan diagihkan di Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala selebihnya akan dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Klinik Kesihatan Tunjang dan Klinik Kesihatan Simpang Kuala.

Beliau berkata, 18 tukang jahit yang terbabit dengan projek berkenaan melakukannya secara sukarela.

“Selain PPE, kami turut menyediakan makanan untuk semua petugas barisan hadapan serta pemberian penutup hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, tukang jahit di Kuala Kedah, Noraini Yaacob, 43, dia menggunakan enam tenaga kerja dari mereka yang belajar di kelas jahitan untuk menghasilkan PPE ini.

Katanya, mereka melakukan kerja amal itu disebabkan banyak kelas jahitan sebelum ini terbatal akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani COVID-19 ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Penaung Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kiri) bersama melihat PPE yang siap dijahit Noraini Yaacob.FOTO/NSTP
    Penaung Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (kiri) bersama melihat PPE yang siap dijahit Noraini Yaacob.FOTO/NSTP
    Berita Harian X