Rabu, 1 April 2020 | 8:03pm
Roslee (kanan) bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus (kiri) melihat Khemah Sanitasi yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Roslee (kanan) bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus (kiri) melihat Khemah Sanitasi yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

81 orang ditahan ingkar PKP di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan 81 individu kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata daripada jumlah itu, seramai 32 orang ditahan di Kemaman diikuti Kuala Terengganu (18), Besut (11), Dungun (10), Marang (9) dan seorang di Setiu.

“Sebilangan besar yang ditahan adalah lelaki berusia lingkungan 17 hingga 39 tahun termasuk tiga wanita yang ditahan di Kemaman,” katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam, seramai 49 individu sudah dituduh di mahkamah manakala 29 lagi masih dalam proses siasatan.

Katanya, bagaimanapun tahap pematuhan dalam kalangan orang ramai khususnya remaja semakin meningkat susulan penurunan jumlah tangkapan berbanding selepas seminggu PKP dilaksanakan.

“Sebagai contoh, pada 30 Mac lalu, sebanyak 13 tangkapan di seluruh daerah. Semalam kita hanya menahan tujuh orang dan ada daerah yang tiada tangkapan, semalam,” katanya.

Roslee berkata, memasuki Fasa 2 PKP bermula hari ini hingga 14 April ini, pihaknya akan meningkatkan lagi kawalan dan bertindak tegas menahan orang ramai yang sengaja berada di luar rumah tanpa urusan mustahak.

Katanya, tindakan tegas diambil bagi memastikan orang ramai patuh pada perintah berkenaan yang bertujuan memutuskan rantaian COVID-19.

“Setakat ini, operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) masih kekal dengan 64 lokasi di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata, bermula hari ini, seramai 1,800 anggota yang bertugas sepanjang Op COVID-19 akan menjalani proses semburan nyah kuman sebelum dan selepas selesai tugas.

Katanya, proses semburan itu dilakukan di khemah sanitasi yang disediakan di setiap daerah bermula semalam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X