Rabu, 1 April 2020 | 2:24pm
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

COVID-19: Tengku Hassanal sumbang Elaun Diraja ke Tabung COVID-19 Pahang

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk tidak menerima bayaran Elaun Diraja baginda, selama enam bulan bagi disalurkan kepada Tabung COVID-19 Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, bayaran elaun itu adalah bagi tempoh bermula bulan ini sehingga September nanti.

“Baginda berharap agar bantuan yang dicadangkan dan diluluskan menggunakan Tabung COVID-19 Pahang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan segera.

“Selain itu, baginda turut bertitah supaya seluruh rakyat Pahang sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga serta mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pemangku Raja juga mendoakan pesakit COVID-19 di seluruh Malaysia diberi kesembuhan yang segera oleh Allah SWT.

“Selain itu, baginda juga berharap kesemua petugas barisan hadapan sentiasa diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Semalam, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri`Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah

Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja untuk baginda berdua selama enam bulan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X