Selasa, 31 March 2020 | 4:58pm
KETUA Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan (tengah) hadir pada Program Kolaborasi Derma Darah Antara ATM Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semasa Covid-19 di Rumah Bakat Panching, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat
KETUA Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan (tengah) hadir pada Program Kolaborasi Derma Darah Antara ATM Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semasa Covid-19 di Rumah Bakat Panching, Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pematuhan PKP di Pahang bertambah baik

KUANTAN: Tahap pematuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 11 daerah di Pahang, kini mencapai 95 hingga 99 peratus, pencapaian yang dianggap semakin baik berbanding sebelum ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, berkata sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya di seluruh negeri bagi memastikan masyarakat terus mematuhi PKP.

Katanya, pemeriksaan bukan sahaja di bandar dan taman perumahan tetapi turut membabitkan kawasan luar bandar, FELDA, lorong tikus dan sempadan negeri.

“Sejak PKP dilaksanakan, seramai 24 individu ditahan dan dihadapkan ke mahkamah, atas kesalahan gagal mematuhi PKP yang mana denda RM1,000 dan penjara enam bulan boleh dikenakan.

“Sebanyak 42 lokasi sekatan jalan raya secara bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dilakukan 24 jam dan jumlahnya akan ditambah secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kolaborasi Derma Darah Antara ATM Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semasa Covid-19 di Rumah Bakat Panching, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima 4 Briged (Mekanize) Brigedier Jeneral Zaidan Atan dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Mohd Fadzil Mohd Diah TUDM.

Seramai 150 anggota tentera dan polis menderma darah pada program kali pertama itu.

Abd Jalil berkata, dalam tempoh 24 jam semalam, sebanyak 12,042 kenderaan diperiksa dan lebih banyak kenderaan akan diperiksa selepas ini.

Katanya, kerjasama semua pihak termasuk masyarakat Orang Asli dapat melancarkan lagi PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu hingga 14 April ini.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, tiga anggota polis Pahang kini disahkan positif COVID-19 manakala 46 lagi menjalani saringan dan keputusannya akan diketahui dalam masa lima hingga enam hari lagi.

Katanya, tiga anggota yang positif itu dijangkiti wabak berkenaan daripada keluarga masing-masing berkaitan kluster jemaah tabligh dan mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X