Selasa, 31 March 2020 | 11:03am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Proses nyah cemar di Batu Pahat hari ini

JOHOR BAHRU: Operasi nyah cemar dan sanitasi awam negeri akan diteruskan di Batu Pahat hari ini, berikutan daerah berkenaan merekodkan kes jangkitan wabak COVID-19 antara tertinggi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Batu Pahat adalah lokasi ketiga mencatatkan kes penularan tertinggi wabak COVID-19 di Johor selepas Kluang dan Johor Bahru.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor akan memulakan proses nyah-cemar dan sanitasi awam ke semua daerah di Johor bermula hari ini sehingga 14 April depan, secara berperingkat.

“Operasi nyah cemar akan bermula di Batu Pahat hari ini berikutan daerah berkenaan adalah lokasi ketiga mencatatkan penularan wabak COVID-19 paling tinggi di negeri ini.

“Pegawai Kesihatan Daerah akan menetapkan lokasi operasi nyah cemar di daerah masing-masing terutama membabitkan lokasi kes tinggi penularan wabak COVID-19 selain kawasan tumpuan umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Kerajaan Johor, Makmur Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, proses nyah cemar dan sanitasi awam juga akan diteruskan di Simpang Renggam, Kluang dan Kampung Sinaran Baru, Kempas, di sini, yang menjadi lokasi tertinggi penularan wabak COVID-19 di Johor.

“Proses nyah cemar di enam zon di Simpang Renggam dan Kampung Sinaran Baru Kempas sudah bermula semalam namun akan tetap diteruskan bagi memastikan rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)di negeri ini mencatatkan 96.42 peratus yang direkodkan semalam, yang hanya mencatatkan peningkatan yang kecil.

“Sepatutnya hari ini adalah hari terakhir PKP dikuatkuasakan kerajaan, namun peningkatan kes positif wabak COVID-19 yang terus meningkat menyebabkan ia terpaksa di sambung sehingga 14 April.

“Justeru, saya minta rakyat Johor mengambil iktibar dan mengambil serius arahan PKP dengan memberi sepenuh kerjasama kepada arahan kerajaan dengan memastikan tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak.

“Menerusi fasa kedua PKP ini, kerajaan Johor akan mempertingkat serta memperketatkan langkah kawalan seiring arahan daripada kerajaan Pusat, ” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X