Isnin, 30 March 2020 | 1:00pm
 Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik (tiga kiri) melawat Pasar Borong di Kampung Gong Pauh, hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik (tiga kiri) melawat Pasar Borong di Kampung Gong Pauh, hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR

COVID-19: Kerajaan pertimbang tutup pasar basah jika ingkar arahan PKP.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan pertimbangkan penutupan pasar basah jika orang ramai ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim menegaskan perkara itu selepas mendapati masih terdapat golongan yang gagal mematuhi PKP termasuk mengabaikan langkah keselamatan ditetapkan kerajaan.

Tegasnya, orang ramai tidak sepatutnya menjadikan pasar sebagai tempat perkelahan, terutama membawa ahli keluarga untuk membeli belah.

“Dalam keadaan penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di seluruh negara, masyarakat diminta mematuhi langkah keselamatan seperti dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Saya akan mencadangkan kepada kabinet supaya semua pasar basah ditutup jika masyarakat dan peniaga ingkar dengan arahan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di pasar borong Kampung Gong Pauh, di sini, hari ini.

Turut serta adalah Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintandan Abdul Rahim Md Din, Exco kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Lawatan ke Pasar Borong Kampung Gong Pauh, di sini, dilakukan selepas tular di laman sosial keadaan sesak terutamanya di bahagian menjual ikan sehingga menimbulkan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun, hasil tinjauan dilakukan mendapati keadaan tenang apabila pelanggan diarahkan beratur dan tidak dibenarkan memasuki kawasan itu secara beramai-ramai.

Tinjauan juga mendapati anggota penguatkuasa termasuk Polis dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ditempatkan di lokasi berkenaan untuk mengawal pengguna.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, kawalan keselamatan bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di pasar berkenaan akan dikuatkuasakan, terutamanya pada setiap pagi Jumaat dan Sabtu.

“Pasar borong Kampung Gong Pauh yang dijadikan pusat pengumpulan barangan termasuk ikan, daging, ayam dan pelbagai jenis sayur-sayuran serta buah-buahan bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat dari daerah Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, malah pemborong,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X