Ahad, 29 March 2020 | 4:33pm
Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melakukan operasi proses nyah cemar di Stesen Bas Sri Maju di Ipoh. - NSTP/Ihsan JBPM Perak
Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melakukan operasi proses nyah cemar di Stesen Bas Sri Maju di Ipoh. - NSTP/Ihsan JBPM Perak

COVID-19: MBI, JBPM Perak mula operasi nyah cemar besar-besaran

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak bertindak memulakan operasi proses nyah cemar secara besar-besaran di sekitar bandaraya ini.

Ia susulan Daerah Kinta dan Hilir Perak dikenalpasti antara lokasi diklasifikasi sebagai zon merah wabak COVID-19.

Jurucakap MBI berkata, operasi nyah cemar setakat ini sudah selesai sepenuhnya di sekitar kawasan Pejabat MBI dan pasar awam.

“Hari ini kita memberi tumpuan untuk menjalankan operasi proses nyah cemar di pasar Tanjung Rambutan bermula sejak jam 2 petang tadi.

“Selain itu, proses nyah cemar hampir sepenuhnya selesai di medan selera dan lokasi lain akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata, kawasan yang dikenalpasti untuk proses nyah cemar diputuskan hasil perbincangan bersama dengan pihak MBI di bawah Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Perak.

“Hari ini, dengan kekuatan lima anggota Pasukan Khas HAZMAT menjalankan kerja sanitasi di platform dan kawasan sekitar Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh selama dua jam bermula 9 pagi.

“Proses sanitasi awam ini menggunakan teknik semburan di permukaan yang dikhuatiri boleh menyebabkan penyebaran wabak COVID-19 melalui sentuhan objek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, selain itu terdapat pasukan yang menjalankan kerja sanitasi awam di platform dan kawasan sekitar stesen Bas Ekspres Sri Maju selama dua jam bermula jam 11 pagi.

“Pada masa yang sama, satu lagi pasukan HAZMAT turut menjalankan kerja sanitasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X