Ahad, 29 March 2020 | 4:10pm
Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Pauzi Yusoff (tiga kiri), bersama kakitangannya sedang menyusun barang keperluan sebelum dihantar kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Baharom Bakar
Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Pauzi Yusoff (tiga kiri), bersama kakitangannya sedang menyusun barang keperluan sebelum dihantar kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Baharom Bakar

COVID-19: MAIDAM salur RM17 juta bantu asnaf

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sudah menyalurkan RM17 juta kepada asnaf termasuk pembayaran awal bantuan bulanan dan sara hidup sejak penularan COVID-19.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda, berkata sebanyak RM3.5 juta dikeluarkan untuk pembayaran awal bantuan kewangan bulanan dan sara hidup kepada 4,034 asnaf di negeri ini.

Bayaran awal bantuan itu dimasukkan terus ke akaun asnaf pertengahan bulan ini sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilanjutkan hingga 14 April depan.

“MAIDAM juga akan mengeluarkan RM11 juta untuk pembayaran bantuan zakat kepada kira-kira 23,000 asnaf fakir dan miskin minggu depan,” katanya mengulas jumlah keseluruhan bantuan zakat dikeluarkan sejak penularan COVID-19 melanda seluruh negara termasuk di negeri ini.

Osman menjelaskan, MAIDAM bukan saja menggunakan wang zakat untuk membantu golongan asnaf, sebaliknya turut membantu Jabatan Kesihatan negeri membeli peralatan perubatan, selain bantuan makanan petugas di barisan hadapan serta ahli keluarga mereka.

“Kita juga mengeluarkan bantuan sekali bayaran kepada 38 ahli keluarga pesakit disyaki dijangkiti wabak COVID-19, yang kini sedang dirawat di hospital, selain membantu penuntut negeri ini yang sedang mengikuti pengajian di universiti di Mesir dan Jordan,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Berang, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid meminta penduduk di daerah Hulu Terengganu patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan rekod tiada warga daerah itu dijangkiti setakat ini dapat dikekalkan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk menyediakan bantuan asas kepada 2,500 penduduk yang terkesan berikutan penularan COVID-19.

Jelasnya, peruntukan menyediakan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan ikan sardin itu akan diagihkan secara berperingkat kepada masyarakat, terutamanya yang terkesan berikutan penguatkuasaan PKP.

“Pegawai di bahagian Parlimen Hulu Terengganu sudah diarah mengagihkan bantuan itu terus kepada penduduk tanpa menggunakan orang tengah,” katanya.

Berita Harian X