Jumaat, 27 March 2020 | 9:06am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Ahli keluarga petugas hospital terima bantuan

KUALA TERENGGANU: Ahli keluarga petugas barisan hadapan di hospital yang bertungkus lumus memerangi COVID-19, akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM500.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda, menjelaskan seramai 38 ahli keluarga petugas di barisan hadapan yang terbabit menangani penularan wabak COVID-19 menerima bantuan itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM19,000.

Beliau berkata, senarai petugas di barisan hadapan bagi mengekang penularan wabak itu diperoleh daripada Jabatan Kesihatan negeri.

“Ahli MAIDAM bersetuju memberi bantuan ‘one off’ itu sebagai menghargai peranan dilakukan petugas di barisan hadapan mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Osman menambah, MAIDAM juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pembelian pelbagai peralatan dan kelengkapan perubatan.

“Kita hanya menyalurkan peruntukan kewangan dan pembelian kelengkapan serta peralatan akan diuruskan pengurusan HSNZ,” jelasnya.

Mengenai bantuan makanan kepada semua petugas di barisan hadapan hospital, Osman menjelaskan, MAIDAM meluluskan peruntukan sebanyak RM33,000 untuk membekalkan makanan kepada semua petugas di HSNZ dan Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Beliau berkata, bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di HSNZ membabitkan peruntukan sebanyak RM30,000 dan RM3,000 kepada HHT disalurkan sejak bermulanya penularan COVID-19.

“Peruntukan bantuan makanan itu diluluskan berikutan kesukaran petugas di HSNZ dan HHT mendapatkan bekalan makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X