X
Khamis, 26 March 2020 | 1:08pm
Gambar pada 23 Mac menunjukkan keadaan lengang di Greenwich Park, London kerana ramai yang akur dengan arahan penjarakan sosial bagi mengekang COVID-19. - AFP
Gambar pada 23 Mac menunjukkan keadaan lengang di Greenwich Park, London kerana ramai yang akur dengan arahan penjarakan sosial bagi mengekang COVID-19. - AFP

Pelajar Sabah di India, London akur jalani perintah berkurung

KOTA KINABALU: Pelajar Sabah yang sedang menuntut di negara yang terjejas dengan COVID-19 kini sedang menjalani perintah berkurung dan kawalan pergerakan bagi menangani kesan pandemik wabak itu.

Seorang pelajar Sabah, Elissa Jane Alex Annah, 24, pelajar tahun kelima bidang pergigian di Meenakshi Ammal Dental College, India yang sedang menjalani latihan industri ketika dihubungi berkata India telah mengeluarkan perintah berkurung sepenuhnya.

“Memandangkan saya adalah pelajar yang menjalani latihan industri, saya dianggap bekerja sebagai doktor gigi manakala pelajar tahun pertama hingga tahun kelima telah mula diberi cuti sejak 18 Mac lalu. Apabila kerajaan India mengeluarkan perintah berkurung semalam, kami diarahkan berhenti kerja dan duduk di rumah.

“Keadaan semasa perintah berkurung di sini lebih kurang sama dengan Malaysia sekarang. Hampir semua kedai dan pusat hiburan ditutup. Malah perkhidmatan menghantar makanan secara dalam talian juga sudah ditutup.

“Kolej tempat saya belajar tidak memberi panduan secara sepenuhnya apa yang harus kami lakukan. Majoriti pelajar yang tinggal di asrama telah diarahkan untuk balik ke rumah masing-masing sekiranya boleh. Saya dan seorang lagi rakan sekuliah yang juga rakyat Sabah pula tinggal di rumah sewa,” katanya ketika dihubungi BH menerusi WhatsApp.

Anak jati Sabah yang berasal dari Lahad Datu itu turut memberitahu BH tiada isu pelajar Sabah yang ingin kembali ke Malaysia pada waktu ini.

“Setakat ini tiada lagi pelajar Sabah di sini yang ingin kembali ke Malaysia memandangkan situasi buat masa ini tidak berapa baik,” katanya.

Bagi penuntut bidang pengurusan hotel di sebuah universiti di London, Elyza Eddy, 26, keadaan sekarang di bandar raya itu sangat sunyi.

“Beberapa hari ini cuaca agak panas di London dan saya melihat beberapa orang dari kawasan kejiranan saya banyak keluar untuk menikmati cuaca sekarang.

“Cuma saya berasa takut untuk keluar membeli barang keperluan di luar apabila saya melihat orang awam di sini yang kelihatannya seperti tidak mengambil langkah perlindungan bagi mencegah COVID-19.

“Kes rakyat di sini yang disahkan positif COVID-19 setakat ini dilaporkan telah mencecah 2,500 kes membuatkan saya bertambah takut dan teringin untuk kembali ke negara saya,” katanya.

Elyza yang berasal dari Penampang itu turut memberitahu BH bahawa beliau hanya tinggal berseorangan di rumah dan tiada pelajar lain dari Malaysia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X