Khamis, 26 March 2020 | 11:30am
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

HEBHK jadi Hospital COVID-19 berkuat kuasa semalam

JOHOR BAHRU: Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dijadikan sebagai Hospital COVID-19 di negeri ini berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata langkah itu diambil Jabatan Kesihatan Negeri Johor berikutan peningkatan kes wabak COVID-19 di negeri ini.

“Bagi kes bukan kecemasan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran berikutan status HEBHK dijadikan Hospital COVID-19.

“Perkhidmatan di hospital berkenaan juga akan dikurangkan, ditangguhkan serta dipindahkan termasuk bagi Rawatan Harian (Thalassaemia) yang akan dipindahkan ke hospital berhampiran.

“Pembedahan elektif dan prosedur rawatan harian juga ditangguhkan di HEBHK dengan Jabatan Pesakit Luar dan Perkhidmatan Klinik Pakar dipindahkan ke bekas Bangunan Pentadbiran Kolej Kejururawatan Kluang, yang terletak bersebelahan Hospital Kluang lama mulai 29 Mac ini.

“Operasi klinik selepas waktu pejabat di hospital berkenaan turut ditangguhkan dan semua kemasukan pesakit baharu bukan COVID-19 adalah dihentikan kecuali kes bersalin kecemasan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama dalam memastikan pelaksanaan fungsi baharu HEBHK, Kluang sebagai Hospital COVID-19 berjalan lancar.

“Tiada sebarang lawatan dibenarkan sepanjang tempoh pesakit COVID-19 dirawat di hospital itu, ” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Johor melaporkan penambahan sebanyak 34 kes COVID-19 yang menjadikan jumlah sebanyak 196 kes, sehingga semalam.

“Berlaku pertambahan sebanyak dua kematian semalam akibat COVID-19 di Johor,menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak lima orang,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X