Khamis, 26 March 2020 | 10:33am

LBU sumbang RM1 juta kepada Dana Bantuan Bencana Sarawak

PETRA JAYA: Lebuhraya Borneo Utara (LBU), menyumbang RM1 juta kepada Dana Bantuan Bencana Negeri Sarawak, bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas susulan wabak COVID-19.

Pengarah Urusan LBU, Mohamad Zaidee Abang Hipni, berkata ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat pembinaan itu ketika rakyat negeri ini menghadapi musibah.

“Kini ramai rakyat Sarawak khususnya yang bekerja sendiri terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Justeru, LBU menyumbang RM1 juta kepada Dana Bantuan Bencana Negeri Sarawak untuk membantu mereka yang terkesan akibat keadaan mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Zaidee berharap lebih banyak entiti korporat akan tampil untuk menghulurkan sumbangan bagi mengisi Dana Bantuan Bencana Sarawak.

LBU adalah entiti korporat pertama di negeri ini yang tampil menghulurkan sumbangan kepada dana bantuan itu

LBU adalah bekas Rakan Penyampaian Projek (PDP) kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Antara program CSR yang sudah dilaksanakan LBU ialah membina sebuah sekolah baru untuk Sekolah Kebangsaan Kampung Buda, Spaoh, di Betong dengan kos RM2.8 juta.

Projek CSR itu dilaksanakan selepas bangunan sekokah terbabit roboh dan dihanyutkan arus sungai akibat tanah runtuh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X