Rabu, 25 March 2020 | 9:23pm
Zakat Pulau Pinang (ZPP) agih bantuan zakat kepada pemohon layak, yang terjejas pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Zakat Pulau Pinang (ZPP) agih bantuan zakat kepada pemohon layak, yang terjejas pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

ZPP terima 2,000 permohonan zakat susulan PKP

GEORGETOWN: Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima kira-kira 2,000 permohonan untuk mendapatkan sumbangan zakat, khususnya daripada mereka yang terkesan dan tiada pendapatan tetap sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Pengerusi ZPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, berkata, pihaknya akan memastikan agihan bantuan berkenaan segera dilakukan.

Bagaimanapun, katanya ia tertakluk pengesahan masjid kariah menerusi maklumat diberikan Pegawai Tadbir Agama daerah masing-masing berpandukan syarat ditetapkan.

“Antaranya mereka mestilah warganegara Malaysia dan tidak mempunyai pendapatan tetap sepanjang tempoh PKP. Pemohon juga mesti bermastautin di Pulau Pinang selama empat bulan ke atas, selain bukan dalam kalangan penerima bantuan kewangan atau makanan bulanan ZPP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata bantuan hanya diberi kepada golongan yang benar-benar terputus bekalan dan tidak menerima bantuan lain daripada ZPP.

Untuk yang menepati syarat, pemohon boleh menghantar maklumat keterangan diri melalui emel mahroos@zakatpenang.com atau rosdan@zakatpenang.com sebelum 27 Mac ini.

Antara maklumat diperlukan ialah nama ketua keluarga, nombor kad pengenalan pemohon, alamat terkini, nombor telefon, tempoh menetap di Pulau Pinang, status perkahwinan dan bilangan tanggungan.

Terdahulu, ZPP mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri ini meliputi tiga pakej bantuan termasuk bantuan khas zakat berjumlah RM3 juta bagi peniaga kecil, gerai tepi jalan dan seumpamanya dengan agihan RM500 setiap ketua keluarga..

Pakej kedua pula membabitkan sumbangan RM500 bagi setiap masjid dan RM300 setiap surau bagi kerja pembersihan dan penyahkuman dengan jumlah keseluruhan RM305,600, selain pakej ketiga meliputi bantuan sara hidup bulanan diberi awal lima hari kepada 3,673 penerima di Pulau Pinang.

Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP mempertimbang bantuan kepada golongan kumpulan sasaran lain yang terkesan sepanjang tempoh ini termasuk yang diberhentikan kerja berikutan majikan muflis.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X