Rabu, 25 March 2020 | 8:10pm
Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Pauzi Yusoff (kiri) menyerahkan topeng muka kepada Pegawai Rela Daerah, Tuan Aizat Tuan Yacob di pejabat RELA daerah, hari ini. - Foto Baharom Bakar
Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Pauzi Yusoff (kiri) menyerahkan topeng muka kepada Pegawai Rela Daerah, Tuan Aizat Tuan Yacob di pejabat RELA daerah, hari ini. - Foto Baharom Bakar

COVID-19: 5,000 topeng muka untuk petugas barisan hadapan

KUALA BERANG: Sebanyak 5,000 topeng muka diagihkan kepada pegawai dan anggota barisan hadapan yang berusaha membendung penularan wabak coronavirus (COVID-19).

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menjelaskan, topeng muka itu ditempah khas daripada beberapa pembekal di ibu negara.

Beliau berkata, sepatutnya bekalan topeng muka itu diagihkan selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu lalu, tetapi disebabkan bekalan tidak mencukupi, tempahan hanya diperoleh Isnin lalu.

“Tetapi proses penghantaran topeng untuk diagihkan kepada semua yang bertugas di barisan hadapan di daerah Hulu Terengganu tidak dapat dilakukan lebih awal berikutan PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengagihan topeng mulut dan hidung itu disampaikan Pegawai Khasnya, Mohd Pauzi Yusoff, hari ini.

Antara jabatan dan agensi barisan hadapan yang menerima sumbangan itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Daerah, Hospital Hulu Terengganu (HHT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Rosol turut meminta semua masyarakat mematuhi larangan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini,.

“Kerajaan berbuat demikian bukan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh negara termasuk negeri ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X