Selasa, 24 March 2020 | 5:21pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 34 polis dikuarantin

KUALA BERANG: 10 pegawai dan 24 anggota polis dari sebuah balai polis di negeri itu, dikuarantin kerana disyaki dijangkiti COVID-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata turut dikuarantin ialah lima ahli keluarga polis terbabit dan seorang penjawat awam yang bertugas di balai polis berkenaan.

“Mereka dikuarantin di balai polis tempat mereka bertugas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan topeng penutup mulut dan hidung kepada ketua jabatan dan agensi kerajaan sumbangan Ahli Parlimen Hulu Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Pauzi Yusoff.

Semalam, lapan pegawai dan anggota polis termasuk Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dikuarantin kerana disyaki dijangkiti COVID-19 berikutan mempunyai kontak rapat dengan salah seorang isteri anggota, iaitu jururawat yang disahkan positif penyakit itu.

Dalam perkembangan lain, Roslee berkata, kesedaran masyarakat di negeri ini dalam pemantuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap 95 peratus.

Katanya, tahap kesedaran itu meningkat sejak pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pegawai dan anggota polis dalam melaksanakan PKP.

Mengenai jemaah tabligh, Roslee berkta, tujuh orang yang hadir ke perhimpunan di Masjid Seri Petaling akhir bulan lalu memberi kerjasama dan menjalani sesi rawatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X