Selasa, 24 March 2020 | 1:41pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Padah jual topeng muka melebihi harga

KUCHING: Sebuah farmasi di sini dikompaun RM10,000 kerana menjual topeng muka melebihi harga kawalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan, berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap farmasi atau mana-mana pihak yang mengeksploitasi harga topeng muka dalam menghadapi penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

“KPDNHEP Sarawak menjalankan pemantauan harian di premis perniagaan setiap hari.

“Tumpuan sekarang untuk memastikan bekalan topeng muka berada di pasaran disebabkan permintaan yang tinggi oleh orang ramai,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, harga topeng muka adalah dikawal oleh kementerian yang mana menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya menjual melebihi harga yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati ada pihak yang menjual topeng muka pada harga tidak munasabah untuk siasatan lanjut.

Bagi cecair pembasmi kuman pula Stanley, berkata ia bukan barang kawalan.

Bagaimanapun, katanya peniaga yang mengambil keuntungan tidak munasabah boleh dikenakan tindakan kerana mencatut.

Berita Harian X