Isnin, 23 March 2020 | 1:13pm
Anggota pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Orang Asli sedang berkawal di pintu masuk Kampung Orang Asli Pos Betau, Lipis dalam usaha mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19. Foto NSTP
Anggota pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Orang Asli sedang berkawal di pintu masuk Kampung Orang Asli Pos Betau, Lipis dalam usaha mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19. Foto NSTP

COVID-19: Sekat orang luar masuki kampung Orang Asli

KUANTAN: Tidak mahu orang luar memasuki kawasan penempatan, masyarakat Orang Asli di Pahang mengambil inisiatif sendiri melakukan sekatan, termasuk menubuhkan pasukan rondaan.

Pada masa sama, masyarakat Orang Asli turut mendapat bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram, berkata sekatan itu bagi menyekat penularan wabak COVID-19 di kawasan penempatan mereka.

Katanya, selain itu, inisiatif itu juga memastikan masyarakat Orang Asli mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan.

“Saya ada menerima beberapa keping gambar daripada masyarakat Orang Asli yang mengambil langkah pencegahan sendiri.

“Sebagai contoh di Kampung Pos Buntu, Raub, mereka meletakkan tiang buluh yang panjang sebagai halangan di pintu masuk penempatan mereka.

“Begitu juga usaha yang dilakukan di Kampung Pos Betau dan Pos Senderut di Lipis dalam usaha menyekat orang luar memasuki kampung mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abd Aziz berkata, tok batin juga sudah dimaklumkan mengenai PKP dan penularan COVID-19 untuk memastikan penduduk kampung Orang Asli berada dalam keadaan sihat.

“Sekiranya ada dalam kalangan penduduk yang sakit, mereka diminta segera untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Jamida Jalong, 50, dari Perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Biru di Rompin, berkata anggota polis sentiasa melakukan rondaan berhampiran penempatan itu dan mengarahkan penduduk kampung untuk bereda di dalam rumah.

“Kami memahami arahan PKP berdasarkan penjelasan yang diberikan tok batin dan polis,” katanya.

Berdasarkan statistik, kira-kira 78,000 Orang Asli menetap di 262 kampung.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X