Ahad, 22 March 2020 | 6:37pm
Suasana lengang di pantai Teluk Cempedak, Kuantan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac bagi mencegah penularan wabak COVID-19. - Foto T N ALAGESH.
Suasana lengang di pantai Teluk Cempedak, Kuantan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac bagi mencegah penularan wabak COVID-19. - Foto T N ALAGESH.

Teluk Chempedak lengang

KUANTAN: Tidak seperti kebiasaan pada cuti hujung minggu, keadaan di pantai peranginan Teluk Chempedak, di sini hari ini lenggang tanpa kehadiran pengunjung.

Pelaksanaan Printah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan orang ramai mematuhi arahan terbabit bagi mencegah penularan coronavirus (COVID-19).

Tinjauan di pantai itu mendapati tempat parkir tiada kenderaan dan hanya beberapa kereta yang singgah untuk membeli makanan segera melalui pandu lalu.

Keadaan itu menunjukkan orang ramai, khususnya warga Kuantan sedar tanggungjawab mereka untuk kekal di rumah jika tiada sebarang keperluan yang mendesak.

Seorang pekerja restoran yang enggan dikenali berkata, sejak perintah terbabit dikuatkuasa 18 Mac lalu, jumlah pengunjung semakin berkurangan.

"Hari ini adalah hari kelima PKP, saya lihat orang ramai semakin sedar akan kepentingan menjaga kesihatan dan patuhi arahan supaya berada di rumah.

"Diharapkan arahan PKP ini dapat dipatuhi sehingga 31 Mac ini untuk menyekat penularan COVID-19," katanya di sini, hari ini.

Bagi Mohamad Kamaruddin, 45 dari Tanjung Lumpur, di sini, dia meminta semua masyarakat mematuhi arahan kerajaan supaya berada di rumah.

"Dalam situasi ini, bagi mengelak penularan wabak COVID-19, sepatutnya kita tidak keluar tanpa sebarang urusan penting," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, pihaknya turut memasang gegantung (banner) bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

Katanya, antara kawasan berkenaan ialah di Teluk Cempedak, Cherating, Balok dan Pantai Batu Hitam yang sering menjadi tumpuan.

"Penguatkuasa MPK juga akan melakukan rondaan kawasan berkenaan setiap hari untuk memastikan orang ramai mematuhi perintah itu," katanya.

Tinjauan di beberapa kawasan tumpuan seperti Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Mini Zoo Teruntum, Taman Bandar, Taman Gelora dan Taman Esplanade turut lengang tanpa pengunjung kerana bimbang penularan wabak COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X