Jumaat, 20 March 2020 | 3:59pm
Kakitangan Hospital Hulu Terengganu menerima bantuan makanan di sumbangkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Kakitangan Hospital Hulu Terengganu menerima bantuan makanan di sumbangkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid. - Foto NSTP/Baharom Bakar

COVID-19: Peruntukan segera RM50,000 bekal sarapan petugas kesihatan

HULU TERENGGANU: Kesukaran mendapatkan makanan dihadapi petugas kesihatan di daerah ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak Rabu lalu dianggap hampir selesai.

Ini berikutan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50,000 bagi membekalkan sarapan kepada petugas di Hospital Hulu Terengganu (HHT) dan klinik kesihatan (KK) di daerah ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata sarapan untuk kira-kira 600 petugas kesihatan dihantar setiap pagi selama 12 hari mulai hari ini.

Beliau menjelaskan, petugas termasuk doktor dan jururawat yang bertugas di HHT serta KK sukar mendapatkan sarapan berikutan kedai makan serta kantin ditutup selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, Rabu lalu.

“Mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan berikutan kebanyakan kedai tutup selepas peniaga mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya menggesa lebih ramai usahawan dan syarikat tampil membantu petugas kesihatan di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosol menjelaskan, bantuan diberikan usahawan dan badan bukan kerajaan (NGO) mampu meringankan sedikit bebanan petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan bagi mengekang penularan COVID-19.

Selain 150 petugas HHT, turut menerima bantuan sarapan adalah 100 petugas di Klinik Kesihatan (KK) Daerah, 108 di KK Kuala Berang, KK Ajil (65), KK Felda Tengkawang (13), KK Telemong (42) dan KK Tengkawang (45).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X