Khamis, 19 March 2020 | 2:01pm
Rashid (kanan) bersama penderma, Sudirman Sulaiman di bilik penderma darah Hospital Segamat. - NSTP/Ahmad Ismail
Rashid (kanan) bersama penderma, Sudirman Sulaiman di bilik penderma darah Hospital Segamat. - NSTP/Ahmad Ismail

COVID-19: Salah faham punca bekalan darah merosot

SEGAMAT: Pusat Tabung Darah Hospital Segamat di sini, meminta kerjasama orang awam supaya segera tampil melakukan pendermaan darah tetapi pada masa sama, mereka dipastikan bebas daripada virus COVID-19.

Pengarahnya, Azhar Mohd Sali, berkata pihaknya akan memeriksa suhu badan setiap penderma bagi memastikan mereka tidak mengalami demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau selsema.

“Penderma tidak perlu takut dengan penyebaran virus yang sedang melanda kini kerana kami mengambil langkah berjaga-jaga terhadap setiap penderma,” katanya ketika ditemui di Hospital Segamat, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Khidmat Pelanggan Pusat Tabung Darah Hospital Segamat, Rashid Ibrahim.

Azhar berkata, pihaknya mendapati terdapat penurunan agak ketara sebanyak 35% penderma, berikutan salah faham dan bimbang untuk hadir menderma sejak penularan wabak COVID-19.

“Segelintir orang awam salah faham merujuk kepada maklumat tidak sahih, tular di media sosial bahawa risiko pendermaan darah lebih mudah terkesan wabak COVID-19. Ini tidak betul.

“Perkara ini sekali gus antara punca utama menyebabkan sedikit penurunan stok simpanan darah sepatutnya 25 paket secara harian,” katanya.

Katanya, penderma dialu-alukan menderma darah terutama darah jenis O kerana ia bersifat ‘universal’ bagi kegunaan kesesuaian keperluan semua penerima.

“Pendermaan darah bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa insan lain tanpa mengira kaum dan agama, malahan individu penderma turut akan menjadi lebih sihat.

“Program kempen derma darah secara terbuka di lokasi awam turut ditangguhkan sementara, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 sehingga 31 Mac 2020.

“Penderma diminta tampil ke Pusat Tabung Darah Hospital Segamat yang beroperasi pada hari dan waktu pejabat berurusan oleh pihak awam,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X