Selasa, 17 March 2020 | 5:08pm
MPK akan menyekat kemasukan pengunjung di pantai peranginan dan pusat rekreasi di Kuantan bermula esok hingga 31 Mac ini. - Foto hiasan
MPK akan menyekat kemasukan pengunjung di pantai peranginan dan pusat rekreasi di Kuantan bermula esok hingga 31 Mac ini. - Foto hiasan

Sekat pengunjung ke pantai peranginan, pusat rekreasi

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menyekat kemasukan pengunjung di pantai peranginan dan pusat rekreasi di daerah itu bermula esok hingga 31 Mac ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, berkata sekatan kemasukan itu antaranya membabitkan Pusat Rekreasi Balok, pantai Teluk Cempedak dan pantai Batu Hitam.

Katanya, sekatan itu turut membabitkan kemasukan pengunjung di Bazar Serambi Teruntum, Terowong Sungai Lembing dan Mini Zoo Teruntum.

“Pegawai penguat kuasa MPK akan mengadakan rondaan di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan orang ramai tidak berada di situ.

“Perintah kawalan itu dibuat seperti arahan Kerajaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita minta orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norkamawati berkata, penutupan turut membabitkan Kompleks Akuatik Indera Mahkota, Stadium Tertutup Sukan Pahang, Stadium Hoki Kuantan, gelanggang tenis Taman Gelora dan gelanggang Badminton Kubang Buaya.

Selain itu, katanya, Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Dewan Wisma Belia Indera Mahkota dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang.

“Semua premis perniagaan, termasuk di pusat membeli-belah dan gerai ditutup sebagai langkah pencegahan wabak terbabit,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X