Rabu, 11 March 2020 | 2:11pm
KETUA Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd akui perceraian boleh diatasi jika kedua-dua pihak mengamalkan sikap terbuka dan menggunakan saluran Jawatankuasa Pendamai dan Hakam jika berlaku sebarang masalah. FOTO Ihsan Wan Mohd Zakri
KETUA Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd akui perceraian boleh diatasi jika kedua-dua pihak mengamalkan sikap terbuka dan menggunakan saluran Jawatankuasa Pendamai dan Hakam jika berlaku sebarang masalah. FOTO Ihsan Wan Mohd Zakri

Mohon cerai kerana tinggal dengan mentua

KUALA TERENGGANU: Suami hanya mahu tinggal di kediaman ibu bapa sendiri berbanding rumah lain bersama pasangan, dikesan antara ‘alasan paling remeh’ diberikan oleh isteri yang memohon cerai di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata menurut data dilaporkan Majlis Sulh, faktor lain permohonan cerai ialah suami isteri tidak tahu melakukan hubungan kelamin.

Selain itu, katanya, suami didakwa menjadikan perkahwinan tempat memuaskan nafsu seks semata-mata tanpa mempedulikan tugas dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Namun, beliau berkata, semua faktor berkenaan bukan punca utama pembubaran perkahwinan di Terengganu walaupun statistik pendaftaran untuk perceraian sejak 2015 hingga tahun lalu mencatatkan peningkatan.

Dalam tempoh lima tahun itu, katanya, sebanyak 21,949 kes perceraian direkodkan dengan purata 4,389 kes setahun.

“Alasan paling popular dalam kes pasangan bercerai ialah tiada persefahaman suami isteri. Secara purata, dianggarkan lebih 50 peratus fail kes menjadikan ia salah satu alasan utama. Alasan kedua popular ialah kedua-dua belah pihak telah mempunyai kata sepakat untuk bercerai.

“Berdasarkan data dilaporkan Majlis Sulh, masalah kewangan juga antara alasan utama dalam permohonan cerai yang berpunca daripada sikap suami malas bekerja atau tiada pekerjaan.

“Selain itu, suami dilaporkan gagal memberi nafkah kepada isteri atau anak. Faktor terbabit saling berkaitan yang boleh membawa kepada punca lain dan begitulah sebaliknya,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zakri berkata, faktor lain dilaporkan ialah suami melakukan penderaan seksual (liwat) terhadap pasangan dan memberi komen dalam laman sosial wanita lain sehingga menyebabkan isteri percaya mereka ada hubungan sulit.

Alasan lain perceraian ialah suami menjalinkan hubungan sulit, mencederakan isteri dan anak secara fizikal serta mental, menuduh isteri berzina tanpa bukti kerana syak wasangka, mengugut mencederakan keluarga dan tidak menunaikan kewajipan agama, termasuk tidak solat serta berpuasa, selain ketiadaan harmoni dan kasih sayang dalam keluarga.

Di samping itu, beliau berkata, faktor suami dalam tahanan penjara selama bertahun-tahun, isteri tidak menghormati suami, campur tangan pihak ketiga daripada keluarga atau orang luar, isteri tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan isteri mengandung hasil hubungan dengan lelaki lain.

“Turut dikesan, suami berpoligami tetapi tidak berlaku adil dari segi pembahagian masa dan kewangan kepada isteri; isteri tidak boleh menerima kehidupan berpoligami; isteri mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu menuruti kehendak suami; suami berjudi dalam talian; dan syak wasangka terlampau isteri terhadap suami.

“Seterusnya, suami ialah penagih dadah dan terbabit pinjaman wang tidak berlesen; pasangan tidak dapat melakukan hubungan kelamin kerana suami mati pucuk dan alat kemaluan isteri tertutup; suami tidak memberi nafkah; suami dan isteri curang, suami dan isteri cemburu tidak bertempat serta tinggal berjauhan kerana urusan kerja,” katanya.

Wan Mohd Zakri menjelaskan, pasangan paling ramai bercerai membabitkan golongan berumur antara 28 hingga 35 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, setiap masalah ada jalan penyelesaian jika kedua-dua pihak mengamalkan sikap terbuka dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak pendamai.

Berita Harian X