Jumaat, 6 March 2020 | 1:10pm
DIESEL sebanyak 800 liter yang dirampas dari lori yang dipandu seorang lelaki di Jalan Tun Hussein Onn petang semalam. NSTP/Erika George
DIESEL sebanyak 800 liter yang dirampas dari lori yang dipandu seorang lelaki di Jalan Tun Hussein Onn petang semalam. NSTP/Erika George

Diesel seludup bernilai RM26,704 dirampas

BINTULU: Seorang pemandu lori berusia 58 tahun ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Bintulu kerana membawa muatan 800 liter diesel seludup bernilai RM26,704 dalam pemeriksaan yang dijalankan di Jalan Tun Hussein Onn, di sini, petang semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu, Nazari Hassan, berkata hasil maklumat awal serta risikan yang dijalankan, anggota PPM menahan lori terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori terbabit menjumpai bekalan bahan bakar yang diletakkan di bahagian belakang lori,” katanya.

Tambahnya, hasil semakan yang dijalankan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen atau kebenaran khas bagi mengendalikan bekalan diesel terbabit.

Lelaki itu dan diesel yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Pejabat KPDNHEP Cawangan Bintulu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung sindiket penyelewengan diesel berkenaan.

Siasatan terperinci akan dijalankan bagi menangkap dalang di sebalik kegiatan penyeludupan terbabit dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Berita Harian X